Monday, September 23, 2013

Kesantunan Berbahasa

2.0          DEFINISI

Definisi bagi kesantunan berbahasa ialah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Selain itu, kesantunan bahasa secara umum merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menujukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan berbahasa juga merupakan timbang rasa yang kita berikan kepada orang yang mendengar pertuturan kita. Contohnya, bahasa yang digunakan untuk menolak permintaan seseorang tanpa mengecilkan hatinya. Kepentingan bahasa  dapat kita lihat dalam hubungan dan pergaulan harian masyarakat. Kesantunan berbahasa dapat mencerminkan keperibadian si penutur dan merupakan alat menunjukkan kehalusan budi bahasa, beradab dan bersopan. Kesantunan berbahasa juga berperanan untuk menjaga perasaan si pendengar.


  • Pendapat Tokoh-tokoh
            Menurut Asmah Hj. Omar, kesopanan boleh dilihat dari segi tingkah laku bukan bahasa dan juga dari segi bahasa. Tambahan lagi, kesopanan yang betul-betul memberi perhatian kepada peranan sosial pemeran latar, judul percakapan, dan menyesuaikan peraturan pertuturan dengan keadaan sebenar.
            Pada pendapat dari tokoh Thomas, kesopanan berbahasa dapat didefinisikan sebagai strategi yang digunakan oleh penutur terhadap pendengar dalam usaha mencapai pelbagai matlamat, seperti memelihara perhubungan yang harmonis.
        “Kesopanan bahasa” oleh tokoh Teo Kok Seong mentakrifkan kesopanan sebagai bentuk bahasa atau penggunaan bahasa yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya. Di samping itu, kesopanan bahasa juga memperlihatkan kehemahan pada orang yang bercakap itu agar dia dianggap sebagai berbudi bahasa.
       Dari pendapat yang diberilan oleh tokoh-tokoh, kita mengetahui bahawa kesantunan itu sendiri memiliki makna yang berbeda dengan kesopanan. Kata sopan memiliki arti menunjukkan rasa hormat pada mitra tutur. Manakala, kata santun memiliki arti berbahasa dengan berdasarkan pada jarak sosial antara penutur dan mitra tutur.

  • Ciri-ciri
Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan. Menurut Asmah Haji Omar, bahasa halus disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib. Selain itu, kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya ialah laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan ialah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya. Dengan ini, kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.



KESANTUNAN BERBAHASA

Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun. Kesantunan bahasa adalah berkaitan dengan kehalusan budi bahasa, keadaban dan kesopanan. Ia berperanan untuk menjaga perasaan si pendengar atau si penerima maklumat. Dengan berlakunya pergaduhan dan pertelingkahan disebabkan isu yang berkaitan dengan kebiadapan. Seperti kata orang-orang tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Untuk mendefinisikan kesantunan bahasa, kita perlu melihat peranan bahasa itu sendiri dalam konteks kehidupan seharian kita. Bahasa boleh dikatakan sebagai satu alat komunikasi di antara si penyampai maklumat dan si penerima maklumat atau si pendengar. Kepentingan bahasa juga dapat kita lihat dalam hubungan dan pergaulan harian masyarakat. Dalam erti kata lain, bahasa berfungsi memaparkan dan menggambarkan kehidupan harian kita. Dapat dirumuskan bahawa konsep kesantunan bahasa berkaitan dengan tatacara dan peraturan dalam berbahasa. Kita dapat melihat konsep ini dari aspek cara dan bentuk bahasa yang digunakan seperti pemilihan kata, nada, gerak laku atau bahasa badan yang digunakan semasa berkomunikasi.
Melalui Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang dilancarkan oleh kerajaan pada awal tahun 2005 di Malaysia. Aktiviti-aktiviti ini merupakan usaha yang penting untuk memupuk kesedaran dan penghayatan seluruh warganegara terhadap pentingnya budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bahkan dalam hubungan manusia sejagat. Kesantunan bahasa merupakan salah satu aspek penting kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni itu. Lama sebelum itu, iaitu pada tahun 1987, secara rasmi Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah memasukkan nilai-nilai murni sebagai salah satu teras dasar dan sistem pendidikan.


  • Konsep Budi Bahasa Dalam Masyarakat Melayu
Menurut Amat Juhari Moain, budi dan bahasa ialah dua perkataan yang begitu sinonim yang kerap datang bersama sehingga lahir perkataan budi bahasa. Budi bahasa ialah unsur penting dalam kehidupan orang Melayu yang diasaskan daripada tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih dengan cermat.
Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama Islam menganjurkan penganutnya member salam apabila bertemu. Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Masyarakat Melayu juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan budi. Buktinya, kecantikkan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya tetapi dinilai pada budi bahasanya. Peribadi seseorang juga dapat dinilai menerusi bahasanya, kalau bahasanya santun dan halus, maka dia dikatakan berbudi bahasa, sebaliknya kalau bahasa yang digunakan itu kasar dan tidak menyenangkan pendengar, maka dia dikatakan kurang ajar.
Konsep bahasa dalam masyarakat Melayu begitu penting sehingga dikatakan "bahasa tidak dijual beli" dan "hilang bahasa hilang bangsa". Orang Melayu juga ada mengatakan "bahasa menunjukkan bangsa" yang menjelaskan bahawa orang Melayu meletakkan bahasa sebagai suatu perkara utama bagi menggambarkan bangsanya.
            Budi bahasa di kalangan orang Melayu amnya dan umat Islam khasnya dikaitkan dengan hati atau kalbu. Mengikut Mustaffa Haji Daud dalam bukunya "Budi Bahasa dalam Tamadun Islam" telah menghuraikan dengan jelas tentang konsep budi bahasa di hati clan bagaimana konsep hati itu dikaitkan dengan tindakan dan perlakuan manusia.


  • Konsep Malu dan Jaga Maruah Diri
Malu dibahagikan kepada dua jenis, iaitu malu asli dan malu yang wujud kerana memiliki ilmu mengenal Allah. Kedua-dua jenis malu itu akan membawa keselamatan kepada manusia kerana malu itu berupaya membina akhlak yang mulia yang mampu mencegah kemungkaran.
Konsep malu dalam masyarakat Melayu begitu luas dan menjadi asas didikan anak-anak. Menurut Zainal Kling (1980), konsep malu itu meliputi pelbagai segi pengertian termasuklah yang paling tinggi yang berkaitan dengan akhlak dan maruah individu, keluarga, dan masyarakatnya.
Dalam masyarakat Melayu, malu itu bukan sahaja melibatkan perasaan sendiri bahkan sesuatu tindakan kita boleh juga memalukan keluarga dan masyarakat. Antaranya sesuatu tindakan yang terkeluar daripada kehendak dan norma masyarakat, seperti seorang gadis "kahwin lari", maka tindakannya dikatakan tindakan yang tidak ada rasa malu kerana telah melanggar adat masyarakatnya.
Selain itu, malu juga boleh berpunca daripada penggunaan bahasa. Sewaktu berinteraksi, orang Melayu ditegah sama sekali menghina dan merendah-rendahkan peribadi seseorang. Perkataan yang keluar dari bibirnya hendaklah santun, tidak mengandungi unsur-unsur memalukan diri, keluarga dan pihak lain walaupun sewaktu menyatakan sesuatu yang benar.
Dari segi masyarakat Melayu amat memandang tinggi budaya masyarakat yang bersopan santun sehingga nama panggilan terhadap seseorang dapat menentukan sikap, kelas pendidikan, sosial dan hubungan antara pemanggil dan individu yang dipanggil, sekali gus memperlihatkan keperibadian mereka. Dalam hal ini, masyarakat Melayu sudah lama terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun dalam tutur kata mereka. Kesantunan berbahasa juga dapat dilihat dari segi pemilihan kata yang menunjukkan aspek berbudi bahasa dan pengetahuan yang tinggi dalam bidang bahasa, sapaan yang tepat kepada sasaran, nada suara yang lembut sesuai dengan situasi, menunjukkan rasa hormat kepada orang lain dan aspek-aspek lain yang memperlihatkan nilai-nilai yang baik.
Dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa, kesantunan dalam berbahasa perlu dipupuk dan disemaikan untuk keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Kesantunan berbahasa juga diertikan sebagai kesopanan dan kehalusan etika menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan mahupun dalam bentuk tulisan. Kesantunan berbahasa sangat penting dalam masyarakat Melayu kerana bahasa melambangkan kahalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur dan masyarakat bahasa tersebut.


Gambar 1.0
Menunjukkan masyarakat Melayu dapat memupuk kesantunan berbahasa dalam masyarakat.





 

No comments:

Post a Comment